Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengan Jabatan PERHILITAN
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan Jabatan PERHILITAN bagi Program Kerjasama Penyelidikan, Konservasi dan Pengurusan Sumber Biologi di Semenanjung Malaysia telah diadakan di Ibu Pejabat PERHILITAN pada 26 Oktober 2018 (Jumaat).
Pemeteraian MoU Kerjsama ini telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr Hassan Said, Naib Canselor, Universiti Teknologi MARA dan YBhg Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim, Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia.
MoU ini bertujuan untuk mewujudkan kerjasama dua pihak dalam bidang penyelidikan saintifik, pemuliharaan dan pengurusan sumber biologi, meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mengenai program yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Di dalam perjanjian ini juga, UiTM mempunyai kebenaran daripada Jabatan PERHILITAN untuk menggunakan kemudahan Stesen Penyelidikan UiTM- PERHILITAN (SteP-UP) di Kuala Keniam, Taman Negara Pahang. Stesen Penyelidikan ini dibina adalah untuk menyediakan kemudahan makmal bagi menjalankan kajian saintifik terhadap spesies hutan hujan tropika, hidupan liar dan habitatnya di Taman Negara Pahang.
Satu MoU pernah ditandatangani oleh Jabatan PERHILITAN dengan UiTM pada 31 Disember 2007. MoU baharu yang ditandatangani semula ini mempunyai beberapa penambahbaikan daripada MoU terdahulu.