Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang
Ianya merupakan rezab hidupan liar yang terbesar di Semenanjung Malaysia dan ditubuhkan pada tahun 1923 dengan keluasan 55,159 ha. Sekarang keluasan kawasan ialah 62,395 ha setelah digazet semula pada tahun 1965 dan 1968. Ianya terletak berhampiran dengan Gunung Benom di Daerah Temerloh, Pahang dan disalir oleh Sungai Krau, Sungai Lompat dan Sungai Teris. Ketinggian rezab berkisar daripada 43 meter di Kuala Lompat ke 2,107 meter di puncak Gunung Benom.
Tujuan asal ianya ditubuhkan ialah untuk melindungi hidupan liar terutamanya Seladang yang terdapat dalam kumpulan yang besar di kawasan yang didiami oleh Orang Asli. Terdapat banyak Seladang di lembah Sungai Krau dan kawasan jenut di kawasan timur dan selatan rezab. Terdapat sebuah stesen penyelidikan di Kuala Lompat yang terkenal di seluruh dunia bagi kajian primat, kelawar dan burung.
Di dalam Rezab Hidupan Liar ini juga terdapat Institut Biodiversiti dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan yang terletak di bahagian selatan Rezab dengan laluan masuk melalui Lanchang. Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan pula berada di sebelah timur rezab bersempadan dengan Felda Jenderak Selatan.