SEMINAR BIODIVERSITI 2016
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah menganjurkan Seminar Biodiversiti 2016 pada 21 - 25 November 2016 di Awana Hotel, Genting Highlands Resort, Pahang. Seminar kali ini telah dianjurkan bersama-sama United Nation Development Programme (UNDP) melalui projek IC-CFS.
Seminar Biodiversiti ke-7 ini telah dirasmikan oleh YBrs. En. Fakhrul Hatta bin Musa, Timbalan Ketua Pengarah I Jabatan PERHILITAN. Semasa majlis perasmian seminar ini, Jabatan telah melancarkan buku ‘Gerik Ecological Corridor – A Safe Passage For Wildlife’ yang mengandungi maklumat usaha dan komitmen Jabatan dalam mewujudkan habitat yang selamat untuk hidupan liar khususnya dalam kes pembinaan lebuhraya di kawasan hutan di Gerik, Perak.
Seminar kali ini juga diserikan dengan kehadiran Tuan Mohd Khan Momin Khan, mantan Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN yang telah dijemput untuk memberikan ucaptama pada seminar tersebut.
Tujuan seminar diadakan adalah untuk mengumpul dan mendokumentasikan hasil kajian inventori biodiversiti yang telah dianjurkan oleh Jabatan pada tahun 2015 dan 2016. Seminar Biodiversiti 2016 telah dihadiri oleh 120 orang penyelidik dalam pelbagai bidang daripada Agensi Kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi yang telah menyertai program inventori anjuran Jabatan. Sebanyak 82 kertas penyelidikan telah dibentangkan secara oral dan poster.