Program Executive Talk: Combating Wildlife and Forestry Crime 2017
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama UNDP/GEF-GOM Project: Improving Connectivity in the Central Forest Spine (IC-CFS) telah menganjurkan Program Executive Talk: Combating Wildlife and Forestry Crime 2017 pada 2 November 2017 bertempat di Hotel Bangi-Putrajaya, Bangi, Selangor.
Penceramah sesi pertama terdiri daripada Cik Fazilah Binti Mansor, Pengarah Bahagian Undang-undang dan Pendakwaan dan Encik Michael B. Maijohn, Penolong Pengarah Perundangan, JPSM berkongsi mengenai Pengenalan kepada Akta Perhutanan Kebangsaan 1984 [Act 313] dan diikuti Encik Salman bin Haji Saaban mengenai Status dan Cabaran Jenayah Hidupan Liar di Semenanjung Malaysia. Penceramah ketiga Encik Abd. Ramlizauyahhudin bin Mahli, Ketua Seksyen Penguatkuasaan, JPSM berkongsi tentang cabaran penguatkuasaan perhutanan di Malaysia dan diakhiri oleh Dr. Satyendra Singh, Pengarah Kaziranga National Park, India menceritakan Jenayah Hidupan Liar: Cabaran Konservasi Hidupan Liar di Kazirangan National Park. Sesi kedua program di sebelah petang disambung dengan pembentangan daripada Encik George Phocas, Pejabat Penguatkuasaan Undang-undang, Fish & Wildlife Services, South East Asia, Thailand bertajuk Penyeludupan Hidupan Liar. Manakala penceramah terakhir sesi kedua ialah Encik Peter Maurice Lidadun, Pegawai Perhutanan, Jabatan Perhutanan Sabah yang berkongsi mengenai Penguatkuasaan Undang-undang Perhutanan di Sabah.
Program Executive Talk ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengamal undang-undang, agensi penguatkuasaan lain mengenai jenayah hidupan liar dan hutan. Ceramah ini dijangka akan memperbaiki prosedur untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar. Seramai 180 peserta yang terdiri daripada wakil pelbagai agensi penguatkuasaan, badan kehakiman, badan-badan bukan kerajaan serta universiti tempatan. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Hasnan bin Yusop, Timbalan Ketua Pengarah II, Jabatan PERHILITAN manakala upacara penutup pula telah disempurnakan oleh Dato' Mohd Ridza B. Awang, Pengarah Kanan Pengurusan Hutan, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.