Majlis Penyerahan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Di Terengganu
2 JUN 2016 - Majlis penyerahan projek pembangunan Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu, Terengganu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Jabatan PERHILITAN telah diadakan pada 2 Jun 2016 (Khamis). Pusat yang dibina di atas tapak seluas 100 hektar ini telah disempurnakan majlis penyerahannya oleh Timbalan Ketua Pengarah II Jabatan PERHILITAN, Encik Fakhrul Hatta bin Musa dan Jurutera Daerah JPS Hulu Terengganu, Puan Wan Norshuhada binti Wan Khairuddin, sambil disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN, YBhg. Dato’ Abd Rasid bin Samsudin dan Timbalan Ketua Pengarah II JPS, YBhg. Dato’ Ir Hj. Mohd Abdul Nasir bin Bidin. Selain itu, YBhg. Dato’ Ketua Pengarah Jabatan PERHILITAN turut melawat beberapa komponen projek seperti bangunan pentadbiran, berek pekerja dan Elephant Restraining Device (ERD) yang akan digunakan untuk tujuan rawatan Gajah. Turut hadir memeriahkan majlis ini adalah wakil daripada JPS Negeri Terengganu, JPS Daerah Hulu Terengganu, Ibu Pejabat PERHILITAN Kuala Lumpur, PERHILITAN Negeri Terengganu dan PKGT, Sungai Deka, kontraktor dan perunding yang terlibat dalam melaksanakan projek ini.